Saturday, November 14, 2009

Ada Apa Pada Nama?

Banyak yang ada pada nama. Bukan senang ibu bapa kita membuat keputusan untuk memberikan nama kepada kita. Itu juga yang aku & suami alami setiap kali kami berbincang tentang nama yang akan diberi kepada zuriat kami yang sedang dikandung..sekadar persiapan. Antara kriteria yang diletakkan oleh kami, nama tersebut hendaklah:
  • mempunyai maksud yang baik
  • tidak terlalu panjang
  • kalau boleh bermula dengan huruf A
Apapun kriterianya, keputusan akhir bergantung kepada hasil istikharah kami nanti. Hmm, kalau ada cadangan, bolehlah panjangkan kepada kami ye..terima kasih.

Apabila berbicara soal nama, teringat aku kepada salah satu ayat yang disampaikan oleh suami sewaktu talkshow kami bersama adik-adik Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah tempoh hari.

Katanya, "Kalau kita buat sesuatu yang tak elok, orang bukan sahaja menyebut-nyebut nama kita sebagai pelakunya. Orang akan tanya balik, dia budak sekolah mana? Oh, Maahad Tahfiz Sains. Macam ni hafiz/hafizah? Sekarang, nama sekolah dah pun tercemar. Orang akan tanya lagi, dia ini anak siapa? Heret pulak nama mak bapak kita sekali. Jadi, jagalah akhlaq kita sebagai huffazul Quran".

Maruah. Itulah yang ada pada nama. Nama itu jugalah yang akan diseru di akhirat kelak untuk menerima kitab amalan sama ada dengan tangan kiri atau tangan kanan. Jika maruah dijaga dengan baik di dunia ini, pemilik nama itulah yang bakal berbahagia di akhirat nanti. Semoga kita tergolong dalam golongan ini..ameen!

Sunday, October 18, 2009

Convo 09

Sudah seminggu majlis konvokesyen berlalu. Namun, kepenatan & keriangan yang dikutip sepanjang perjalanan masih lagi terasa. Dek kerana badanku yang agak lemah disebabkan asyik muntah-muntah, aku & suami tidak berpeluang untuk membawa ahli keluarga meronda-ronda di sekitar ibu negara. Kami sekadar membawa mereka berjalan-jalan & membeli belah di pesta Convest 09, makan-makan di restoran di Greenwood & mandi-manda di sungai bersebelahan Chalet Sri Raudhah yang kami sewa selama 3 hari 2 malam. Masa luang yang selebihnya kami gunakan untuk berehat.

Konvo kali ini sangat bermakna buatku..konvo versi seorang isteri & momma-to-be. Aku, suami dan zuriat kami, ketiga-tiganya menaiki pentas yang sama pada hari yang sama di dewan yang sama. Disaksikan oleh suami tercinta, ummi, abah, mek, adik-adik, ipar duai, para pensyarah serta rakan-rakan seperjuangan, aku dipanggil lagi untuk naik ke pentas buat kali kedua untuk menerima anugerah Best Student (Overall) Kulliyyah of Pharmacy & Best Student (Co-curricular) Kulliyyah of Pharmacy. Kedua-dua anugerah ini sesungguhnya aku dedikasikan untuk mereka!

Haza min fadhli robbi! Jutaan terima kasih kepada semua yang telah membentuk diriku sama ada secara langsung atau tidak. Tanpa kalian, tiadalah seorang insan yang bernama Nur Asiyah Mustapha Kamil seperti yang kalian lihat pada hari ini. These awards are for you! Thank you very much!

P/S:
  • Thank you, Abang, for being by my side during my ups & downs!
  • Thank you, Ummi, for everything that you've done since the first time I see this world!
  • Thank you, Abah (may his soul rest in peace, ameen..) for inspiring me all the time!
  • Thank you, Mek & Abah, for your presence & support!
  • Thank you, Diah, for your help since the beginning until the end of the convo!
  • Thank you, Jah, for being our photographer!
  • Thank you, Daus, for taking care of those little girls!
  • Thank you, Hanin & Izzah, for being good little girls & enhancing the joy of togetherness!
  • Thank you, everybody! Thank you very much!

Thursday, October 08, 2009

Back to Normal

Alhamdulillah, selepas 6 hari mendapat urticaria rashes di seluruh badan, garu sana, garu sini sampai kaki tangan jadi kebas..dengan izin Allah, akhirnya kesihatanku kembali pulih. Sungguh, kesakitan itu satu ujian untuk menguji kesabaran dan tahap kebergantungan seorang hamba kepada Tuhannya. Di saat itu, kita akan mengerti siapakah yang benar-benar ikhlas bersama kita di waktu senang, jua di waktu susah.

Terima kasih tak terhingga aku ucapkan kepada semua yang sudi mengambil berat terhadap diri ini: suami tersayang yang tak cukup rehat kerana sabar menguruskan keperluan isteri, ibu dan mertua yang tak jemu-jemu menghulurkan penawar dan doa, serta sahabat-sahabat yang selalu bertanyakan khabar. Terasa diri ini begitu bertuah kerana berada di sisi kalian!

Sejak usia kandungan memasuki second trimester ini, barulah diri ini merasa keperitan seorang ibu mengandung. Bukan senang untuk mengharungi segala alahan yang tak pernah dialami sebelum ini. Semalam, sewaktu memandu kereta pulang dari tempat kerja, tak semena-mena aku termuntah di atas riba..unknown cause. Sejurus sampai di rumah dan mencuci pakaian yang terkena kotoran tadi, aku termuntah lagi tapi kali ini di dalam tandas. Nasib baik! Lagi bernasib baik sebab suami tolong bersihkan kesan muntah di kusyen kereta dengan rela hati (thank you very much, my sweetheart!).

Hari ini, aku dan suami serta beberapa orang ahli keluarga yang lain akan mula bermusafir ke Gombak untuk menghadiri majlis konvokesyen kami. Satu perjalanan yang jauh dan tentunya mencabar! Majlis penganugerahan ijazah untuk graduan dari Kulliyyah of Pharmacy akan berlangsung pada sesi pagi, 10 Oktober 2009 (Sabtu). Huu..tak sabar rasanya untuk bertemu mata dengan sahabat-sahabat seperjuangan! Aku benar-benar rindukan celoteh mereka. See you there, guys! Congratulations!

Saturday, October 03, 2009

Ucapan Selamat

Mungkin ada yang terlambat, tapi nak ucapkan juga kepada semua..
  • SELAMAT HARI RAYA!
  • SELAMAT BERPUASA 6!
  • SELAMAT BERHARI RAYA 6!
  • SELAMAT MENGUNDI DI BAGAN PINANG!
  • SELAMAT BELAJAR!
  • SELAMAT BEKERJA!
  • SELAMAT MAJU JAYA!
Sekadar mengemaskini blog yang sudah agak lama bersawang. Insya Allah, kalau diikutkan jadual, esok aku akan mula bekerja di bahagian farmasi pesakit luar (out-patient department,OPD) & bertugas di kaunter setiap hari selama 5 minggu. Melihatkan keadaan diri yang kurang sihat sekarang ini, aku terfikir, adakah aku mampu mengharungi segala kepenatan berada di OPD? Moga selamat semuanya..ameen!

Saturday, September 05, 2009

Busyra! Busyra!

Busyra bermaksud kegembiraan.
Ada 2 kegembiraan yang baru sahaja menjengah ke dalam hidupku, alhamdulillahi rabbil 'aalamiin..syukur tak terhingga!

  1. Rayuan suamiku untuk ditempatkan di Kelantan berjaya. Alhamdulillah, diterima bekerja di Jabatan Farmasi HUSM, Kubang Kerian & akan melapor diri untuk bertugas dalam masa yang terdekat..sekarang tengah tunggu surat tawaran sampai. Terima kasih tak terhingga atas doa kalian! Sekurang-kurangnya kami tak perlu tinggal berjauhan untuk tahun pertama ini.
  2. Seorang cahaya mata pengikat kasih bakal mewarnai hidup kami. Berdasarkan keputusan urine pregnancy test & imbasan ultrasound, aku disahkan hamil 7 minggu. Kelahiran dijangka pada bulan April 2010. Alhamdulillah! Semoga zuriat ini bakal menjadi salah seorang ansorullah..ameen.
Bermula pada esok hari, aku akan ditempatkan di Therapeutic Drug Monitoring (TDM) Unit selama 4 minggu. Selamat tinggal CDR! Aku juga bakal bekerja shift petang pada hari Jumaat ini dari jam 4 petang hingga 12 malam (Oh, no weekend for me!) Ini satu cabaran dan pengalaman yang baru bagiku. Moga-moga Allah permudahkan segala urusan..ameen.

Friday, August 28, 2009

Rutin Impian

Ramadhan Kareem!

Hari ini hari jumaat. Inilah penghulu segala hari. Bagiku, hari Jumaat mempunyai auranya yang tersendiri yang begitu menenangkan jiwa. Hari ini aku tidak bekerja. Masa diperuntukkan untuk bersama suami dan ahli-ahli keluarga. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup pada pagi ini menambahkan lagi ketenangan. Setelah selesai bertadarus al-Quran, aku dan suami turun ke halaman rumah untuk membersihkan persekitaran sambil mengeluarkan peluh. Segar!

Memang benar bagai dikata orang, memasuki alam pekerjaan itu sangat meletihkan, tak sama dengan penat yang kita alami sewaktu bergelar pelajar. Justeru, bagi yang bekerja, hari minggu amatlah dinanti-nantikan. Aku pernah berangan-angan, alangkah indahnya jika setiap hari adalah hari jumaat. Ah, mana mungkin! Ini angan-angan yang pasti tak akan menjadi kenyataan.

Dalam berangan-angan itu, sedar tak sedar, sudah hampir sebulan aku bergelar pegawai farmasi (PRP). Rutinku setiap hari bekerja ialah:
  • 7.15 pagi: bertolak ke tempat kerja (setakat ini, suami yang tolong hantar & ambil..terima kasih, abang!)
  • 8.00 pagi: screening prescription slips di farmasi satelit
  • 9.30 pagi: bergegas ke unit CDR untuk membuat worksheets berdasarkan pesanan yang dipesan oleh doktor, melabel dan menyediakan bahan-bahan untuk proses rekonstitusi
  • 1.00 petang: rehat, solat
  • 2.00 petang: masuk semula ke unit CDR, monitor pesakit-pesakit kanser yang menerima rawatan kemoterapi di wad-wad tertentu & memberikan kaunseling kepada mereka
  • 5.00 petang: dibenarkan pulang =) tapi, solat asar dululah..takut-takut terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas dalam perjalanan pulang ke rumah, lambat pula solat asar nanti.
  • 6.00 petang: sampai di rumah..KEPENATAN! Namun, penat berkurangan apabila dapat menatap wajah suami sepuas-puasnya & berehat bersamanya.
Aku terfikir, sampai umur berapakah rutinku akan terus begini? Ini bukanlah rutin impianku. Aku inginkan masa yang lebih lama di rumah bersama suami & ahli keluarga, lebih-lebih lagi kalau sudah punyai anak sendiri nanti. Dapat berkhidmat dengan baik kepada mereka memberikan satu kepuasan kepadaku. Mungkin, impianku ini juga dikongsi oleh wanita-wanita lain yang bekerjaya di luar sana..siapa tahu, kan?

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan Kareem!


Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan!

Alhamdulillah, akhirnya terubat jua rindu di dada untuk bertemu bulan Ramadhan yang mulia. Keasyikan beribadah sepanjang bulan ini menjadi lebih bermakna kerana aku kini mempunyai pesaing..pesaing yang menjadikan aku lebih bersemangat untuk mengerjakan kebaikan demi kebaikan. Suamiku adalah pesaingku.

"Fastabiqul khairaat!", cabar suamiku.

Insya Allah, dengan kekuatan kurniaan Allah, akan kucuba sedaya upayaku. Aku berdoa moga semua umat Islam dikurniakan kesabaran dalam beribadah walau di mana sahaja mereka berada, walau dalam apa jua situasi yang dihadapi. Ameen ya rabb!

SELAMAT MENGHIDUPKAN RAMADHAN AL-MUBARAK!

p/s: Berpuasa penuh pada tahun ini? Jika diizinkan Allah =)